Ayat 11 Surah an-Nisaa’:

 


Allah SWT telah berfirman dalam surah an-Nisaa’ seperti berikut.

Maksudnya:

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak.

Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu.

(Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Cara pembahagian Faraid berdasarkan Ayat 11 Surah An-Nisaa’

  1. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan, maka bahagian anak lelaki adalah 2 kali bahagian anak perempuan.
  2. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan dua atau lebih anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagian mereka adalah dua pertiga (2/3) daripada nilai harta pusaka, dimana perlu dibahagikan sama rata kepada semua anak perempuan yang terlibat.
  3. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagiannya adalah satu perdua (1/2) atau separuh daripada hartanya.
  4. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa serta anak (tanpa mengira bilangan dan jantina anak mereka), bahagian yang ditetapkan untuk setiap seorang ibu dan bapa adalah satu perenam (1/6); untuk ibu 1/6 dan untuk bapa 1/6.
  5. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa sahaja (tidak mempunyai anak), bahagian ibu adalah satu pertiga (1/3), bapa pula mendapat bahagian dua pertiga (2/3).
  6. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa serta adik-beradik (tidak mempunyai anak), maka bahagian ibu adalah satu per enam (1/6) dan selebihnya adalah bahagian adik-beradik lelaki yang perlu dibahagikan.

Comments

Popular posts from this blog

Ayat 9:

Pengurusan harta pusaka dalam Islam