Ayat 9:

Ayat 9: Allah beri motivasi kepada kita untuk menjaga kepentingan anak-anak yatim itu. Kerana kita pun ada anak juga, maka kita kena fikirkan.

Allah beri perumpamaan: apa kata kalau kamu yang mati dan anak-anak kamu kecil lagi? Tentu kamu mahu hak mereka dijaga, bukan? Maka kita kenalah jaga hak anak orang lain dengan baik. Kerana kalau anak kita jadi macam itu, kita pun mahu anak kita dijaga haknya.

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let those [executors and guardians] fear [injustice] as if they [themselves] had left weak offspring behind and feared for them. So let them fear Allāh and speak words of appropriate justice.

MALAY

Dan hendaklah takut orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).

 

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوا عَلَيْهِمْ

Dan hendaklah takut orang-orang, yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang lemah di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; 

Kita hendaklah bimbang memikirkan siapa yang akan jaga anak kita yang lemah kalau kita sudah tiada nanti. Kalau kita tidak jaga hak anak orang lain, siapa pula yang akan jaga hak anak kita kalau kita tiada nanti?

Oleh itu, penjagaan harta anak-anak yatim mestilah dijaga oleh semua orang. Kerana semua orang ada anak juga, dan ada kemungkinan kita mati sebelum anak-anak itu membesar dan belum mampu untuk menjaga diri mereka. Ini adalah pengajaran pertama.

Pengajaran kedua, kita hendaklah risaukan keadaan anak-anak kita selepas kita tiada nanti. Kalau mereka kecil dan tidak mampu mencari rezeki sendiri, apakah nanti nasib mereka? Maka, tinggalkanlah sesuatu dalam bentuk harta kepada mereka, jangan biarkan mereka tidak ada harta langsung.

Ayat ini ditujukan kepada mereka yang mahu infak harta mereka lebih dari 1/3. Sedangkan mereka ada anak-anak kecil yang memerlukan keperluan. Dikatakan bahawa asbabun nuzul ayat ini adalah kisah Sa’ad bin Abi Waqas yang mahu memberikan keseluruhan hartanya dalam wasiat. Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Sa’ad bin Abi Waqas yang bermaksud:

“Sepertiga dan sepertiga itu sudah banyak, sesungguhnya lebih baik bagi kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin yang meminta-minta kepada orang lain.” (Riwayat Muslim).

Hadis ini juga menjadi dalil bahawa kalau kita tahu ada orang yang melakukan wasiat yang tidak patut, maka kita kena tegur dia. Dan kalau ada pembahagian harta pusaka yang tidak patuh syariah, pun kita kena tegur.

 

فَلْيَتَّقُوا اللهَ

oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah,

Maksudnya, kenalah lihat ketetapan yang Allah telah letakkan kepada kita. Kita kena pastikan hak-hak penerima harta itu sampai kepada mereka. Kalau kita lihat ada kekurangan di mana-mana, hendaklah kita tegur.

Sama ada kita lihat seseorang tidak menjalankan tugasnya menjaga harta, membahagikan harta, malah kalau kita nampak seseorang memberi hartanya terlalu banyak sampaikan boleh menyebabkan warisnya tidak tinggal apa-apa. Kita kena ambil tindakan kalau perkara itu berlaku di depan mata kita.

 

وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul 

Kalimah قَوْلًا سَدِيدًا bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Berkatalah dengan baik kepada mereka.

Ini adalah hukum kepada mereka yang menjaga anak-anak yatim. Kerana apabila ibubapa meninggal, maka hartanya itu akan diuruskan oleh walinya atau mereka yang telah diamanahkan oleh mahkamah untuk menjaga harta itu. Mereka yang memegang amanah itu, kena urus harta itu dengan baik.

Yang penting, kena takut kepada Allah. Kerana Allah melihat apa yang kita lakukan. Dan dalam masa yang sama, wali kena jelaskan kepada anak-anak yatim bahawa mereka hanya menjaga harta itu sahaja dan akan memulangkan harta itu kepada anak yatim itu apabila sudah sampai masanya. Sekarang tidak boleh lagi kerana belum sesuai. Kata-kata ini adalah contoh kata-kata yang menepati syariat.

Kata سَدِيدًا berasal dari katadasar yang bermaksud ‘dinding’. Kalau dinding rumah kita, kita akan jaga dan kalau ada lubang, kita akan tampal supaya tidak retak. Jadi قَوْلًا سَدِيدًا telah menjadi satu makna yang membawa maksud kata-kata yang jelas, tepat, tidak bengkang bengkok, tidak retak dan tidak ada lubang padanya.

Ayat ini boleh juga bermaksud, kalau ada anak yatim yang tanya kita: adakah kita dapat harta pusaka, jangan pusing kata tak dapat pula. Beritahulah dengan benar. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana kadang-kadang anak-anak yatim dan keluarga ada datang apabila mereka tahu yang ada majlis pembahagian harta pusaka.

Beritahulah yang kita memang ada dapat harta pusaka, nanti kita beri kepadanya sedikit, kalau dia tidak layak dapat harta itu. Kerana anak yatim selalunya orang susah dan mengharap bantuan dari kita. Mungkin dia ada dengar kita dapat harta percuma, maka dia mengharap kalau dapat sedikit infak dari kita.

Persoalan sekarang, adakah kita tahu anak-anak yatim dalam kalangan masyarakat kita? Kalau masyarakat kita tidak rapat dan tidak bersuai kenal dengan orang dalam qariyahnya, macam mana nak tahu mana satu anak yatim?

Sebab itu kena bercakap-cakap dan bertanya khabar dengan masyarakat sekeliling kita. Tanya khabar mereka, ambil tahu keperluan mereka. Bantulah mereka dimana kita boleh bantu. Jangan takat angkat tangan sahaja bagi salam sahaja. Jangan tunggu mereka datang meminta-minta kepada kita kerana mereka pun tentu malu nak cakap dan meminta-minta kepada kita.

Kita yang kena mulakan beri pertolongan. Macam dalam ayat sebelum ini, tidak disebut pun mereka minta, cuma disebut mereka hadir sahaja semasa majlis pemberian harta pusaka itu. Kitalah yang kena faham sendiri.

Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan di kalangan manusia. Dan salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.

Maka Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di dalam ayat ini:

a. Qawlan Ma’roofan: seperti yang disebut dalam Nisa:5. Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun tidak faham.

b. Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam dalam ayat ini. bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.

c. Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam Nisa:63. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas pada jiwa.

d. Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam Isra’:23. Menegur dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Isra’:23 adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka salah, memang boleh tegur tapi kena pakai kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua memang kena dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain pun dengan adab.

e. Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam Isra’:28. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat Isra’:28 ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tapi waktu itu tak mampu nak membantu. Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan tambah seksa.

f. Qawlan Layyinan: seperti yang disebut dalam Taha:44. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutama kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Akan tetapi kita kena cuba kerana ayat Taha:44 ini arahan Allah kepada Nabi Musa untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.


Comments

Popular posts from this blog

Ayat 11 Surah an-Nisaa’:

Pengurusan harta pusaka dalam Islam