Ayat 8: Hukum keenam
Ayat 8: Hukum keenam. Ini adalah berkenaan kaum kerabat yang bukan termasuk dalam golongan ashabul furud. Ini adalah apa yang perlu dilakukan jikalau semasa membahagikan harta pusaka kepada yang layak menerimanya, ada golongan lain yang datang.
Sama ada yang datang itu adalah kaum kerabat yang jauh sikit atau anak yatim.
وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينُ فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when [other] relatives and orphans and the needy are present at the [time of] division, then provide for them [something] out of it [i.e., the estate] and speak to them words of appropriate kindness.
MALAY
Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينُ
Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu,
Ada tiga golongan yang disebut dalam ayat ini: Kaum keluarga, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Ayat ini mengajar kita apa yang perlu kita lakukan jikalau mereka ada yang datang semasa الْقِسْمَةَ – majlis pembahagian harta pusaka. Mungkin mereka dengar yang harta pusaka akan dibahagikan pada hari itu dan mereka datang mungkin mengharap jikalau ada bahagian untuk mereka.
Kalimah الْقُرْبَىٰ dalam ayat ini bermaksud kaum kerabat yang jauh sikit. Kerana kaum kerabat adik beradik yang dekat, memang sudah termasuk dalam bahagian penerima harta pusaka.
Maka, apakah yang patut kita lakukan untuk mereka?
فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ
maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya,
Berilah sedikit rezeki kepada mereka. Tapi, bukanlah beri dari bahagian harta yang dibahagikan itu. Iaitu cuma jamu mereka makan dari harta yang lain. Itu sebagai tanda kita syukur kita dapat harta percuma. Kerana harta yang kita dapat itu bukan harta dari usaha kita pun, dapat percuma sahaja.
وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
Berilah mereka jamuan makanan dan bercakap baiklah dengan mereka. Jangan halau atau malukan mereka. Jangan hampakan mereka. Kata kepada mereka, harta pembahagian itu baru sahaja dapat, tapi kita akan beri mereka makan dan jamuan sebagai tanda syukur.
Kita katakan bahawa pemberian rezeki itu dari harta yang lain, bukan dari harta pusaka yang baru dibahagikan itu. Ditafsir begini supaya ayat ini tidak termasuk dalam ayat yang mansukh. Kerana memang ada pendapat yang mengatakan yang ayat ini sudah mansukh. Begitu pun, ada juga yang kata ayat ini tidak mansukh.
Orang kata ayat ini telah mansukh, mereka mengatakan lafaz أُولُو الْقُرْبَىٰ adalah kaum kerabat yang bukan ahlul furud, iaitu kerabat jauh. Mereka kata kalau dulu, boleh diberikan bahagian dari harta pusaka itu dan ayat itu telah dimansukhkan.
Oleh itu, pada mereka, kalau beri sebahagian dari harta pusaka, ianya atas dasar sunat sahaja, kerana kalau beri atas dasar fardhu, tidak ada kerana telah dimansukhkan.
Ada juga ulama yang kata tidak mansukh. Mereka meletakkan makna yang sesuai. Mereka mengatakan yang lafaz أُولُو الْقُرْبَىٰ bermaksud kerabat yang boleh terima pusaka. Dan anak-anak yatim yang datang pun adalah mereka yang boleh terima pusaka. Dan mereka datang pun untuk ambil bahagian mereka.
Kepada mereka, kita beri makan dulu dan kata kepada mereka bahawa harta yang banyak tu kena tunggu apabila mereka dah besar nanti. Oleh itu, maksud beri rezeki itu adalah jamu mereka dengan harta pusaka yang ada hak dia.
Oleh itu, kita boleh lihat ada beberapa pendapat tentang ayat ini. Kalau zaman sekarang, mungkin tidak ada. Sebab sekarang pemberian harta pusaka selalunya tertutup. Dan mereka yang patut terima harta pusaka itu telah tahu yang mereka akan dapat harta pusaka. Allahu a’lam.
Comments
Post a Comment